1.0 Pengenalan
Kurun ke-17 dan
ke-18 memang tidak asing lagi dalam sejarah melayu disebabkan abad tersebut dipersepsikan sebagai zaman Bugis di
Malaysia. Kedatangan awal orang Bugis di tanah melayu adalah pada sekitar
pertengahan dan akhir abad yang ke-17 dan mereka telah menetap di sekitar
Linggi, kuala Selangor dan Johor di samping kepulauan Sumatera yang lain iaitu
di Riau. Pasompe atau merantau
merupakan tradisi bagi masyarakat bugis di nusantara sejak dahulu lagi dengan
menggunakan phinisi iaitu sebuah
kapal masyarakat Bugis ke nusantara. Orang bugis atau dikenali juga dengan nama
tougi terdiri daripada Bone, Wajo,
Soppeng dan Barangnipa adalah berasal dari tanah selatan sulawesi .
Penghijrahan beramai-ramai orang Bugis ke Alam Melayu telah berlaku sekitar
abad yang ke-18 dimana pada abad tersebut bermulanya campurtangan mereka dalam
kancah politik orang melayu khususnya Kerajaan Johor. Namun penghijrahan orang
Bugis juga diserta oleh orang Mengkassar (tomengkasar) yang terdiri daripada
Tombolo, Goa dan Takalara. Istilah Daeng yang digunakan dalam suku tougi
merupakan istilah dari kelompok orang Mengkassar.
Selain itu, dinyatakan juga bahawa kedua-kedua suku ini berasimilasi menjadi
Bugis-Mengkassar sejak dahulu lagi. Oleh hal yang demikian, suku bangsa
Sulawesi yang membuat penghijrahan dan terlibat dalam politik alam melayu dapatlah
dikatakan sebagai suku Bugis–Mengkkassar iaitu gabungan antara suku tougi dan tomengkassar.[1] Namun
demikian menurut Andaya, Bugis Wajo’ merupakan suku bugis yang banyaka
melakukan penghijrahan dari tanah Sulawesi ke Alam Melayu. Pengaruh dan penguasaaan Bugis ini telah
dikuatkan lagi dengan kedatangan golongan bangsawan Bugis iaitu lima Daeng
bersaudara antaranya Upu Daeng Perani, Upu Daeng Merewah, Upu Daeng Chelak, Upu
Daeng Menambun dan Upu Daeng Kemasi anak kepada Upu Tanderi Burung. Lima orang
bersaudara ini telah memainkan peranan yang cukup penting dalam memperjuangkan
pengaruh dan penguasaan mereka terhadap pentadbiran di tanah melayu walaupun
terdapat persaingan antara orang Bugis sendiri. Namun demikian , penghijrahan
suku Bugis-Makassar disebabkan berlakunya perubahan pentadbiran di Sulawesi
Selatan .
2.0 Penguasaan orang Bugis di tanah melayu.
Penguasaan orang
Bugis dalam politik orang melayu telah bermula setelah kedatangan lima orang
bangsawan Bugis iaitu putera-putera Upu Tanderi Burung anak Lamdusalat Raja
negeri Luwok di tanah bugis iaitu Daeng Perani, Daeng Menambun, Daeng Merewah,
Daeng Chelak dan Daeng Kemasi.[2] Lima bersaudara ini telah memainkan peranan
penting dalam memperjuangkan pengaruh Bugis di tanah melayu. Orang Bugis telah membuat petempatan awal pada
pertengahan abad ke-17 dan 18 di semenanjung barat tanah melayu seperti Linggi,
Kelang, Johor-Riau-Lingga. Pengaruh mereka dalam politik dan pentadbiran dapat
dirasai oleh golongan pembesar dan rakyat tanah melayu di samping dalam
perdagangan.
2.1 Penglibatan
dan penguasaan Orang Bugis di Johor
Penglibatan
dan penguasaan orang Bugis di Johor, bermula dengan bantuan lima bersaudara
Bugis dalam peperangan yang tercetus di Johor akibat daripada perebutan kuasa
bagi mendapatkan kerajaan Johor. Peperangan ini berlaku diantara Sultan Abd.
Jalil IV dan puteranya, Raja Sulaiman dengan Raja Kechil (Sultan Abdul Jalil
Rahmat Syah) yang dimenangi oleh Raja Kechil. Dengan bantuan lima bersaudara
Bugis dalam peperangan seterusnya, Sultan Abd. Jalil dan Raja Sulaiman dapat
merebut semula kerajaan Johor dari tangan Raja Kechil. Setelah Raja Kechil dapat
dikalahkan maka, pada T.M 1722 anak-anak bugis lima bersaudara melantik Raja
Sulaiman menaiki takhta kerajaan menggantikan Sultan Abd. Jalil IV dengan
gelaran Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah.[3]
Kenaikan takhta Sultan
Sulaiman ini secara langsung telah mengiktiraf penglibatan orang Bugis dalam
politik di Johor. Selain itu juga, orang Bugis dapat mengubah status sistem kerajaan
di Johor. Dengan ini, orang Bugis dapat dikatakan sebagai pemansuh kerajaan
lama dan menubuhkan kerajaan Johor yang baharu.[4] Hal
ini kerana, Sultan Sulaiman yang telah menjadi sultan Johor ini sememangnya
bukan lagi keturunan kerabat di raja tetapi keturunan bendahara, yang
seterusnya telah menghapuskan warisan kesultanan Melaka di Johor. Keadaan ini
yang dikatakan sebagai Johor melahirkan suatu konsep perajaan baharu di bawah
dinasti Bendahara yang berasaskan kepada kuasa penaungnya yang baharu, iaitu
orang Bugis. Peristiwa ini menjadi sejarah yang amat bermakna dalam ketamadunan
masyarakat melayu di Tanah Melayu. Malahan, segala pemerintahan terletak pada
tangan Yamtuan Muda iaitu Daeng Merewah yang berkuasa ke atas semua negeri
naungan Johor pada ketika itu.
Perkahwinan
lima bersaudara Bugis dengan kerabat Diraja Johor mengukuhkan lagi pengaruh
dalam institusi kekeluargaan dan seterusnya peranan orang-orang Bugis dalam
politik dan pentadbiran Johor. Kalau kita lihat berlaku perkahwinan diantara
Daeng Perani dengan Tengku Tengah iaitu saudara Sultan Sulaiman di Johor, di
Selangor dengan anak raja Selangor dan di Kedah dengan adik Yamtuan Kedah yang
ketiga-tiganya mendapat seorang anak perempuan setiap seorang.[5]
Setelah pertabalan Sultan Sulaiman sebagai Sultan Johor, berlaku perkahwinan
beramai-ramai di antara lima bersaudara Bugis ini dengan kaum kerabat di raja
tempatan. Sebagai contoh, Daeng Merewah iaitu Yamtuan Muda Johor pertama
dikahwinkan dengan Tun Encik Ayu, anak Temenggung Abd al-Jamal di Johor
manakalah Daeng Chelak Yang Dipertuan Muda (Yamtuan Muda) yang kedua berkahwin
dengan Tengku Puan anak Sultan Abd al-Jalil IV iaitu saudara perempuan Sultan
Sulaiman.[6]
Hal ini demikian telah membawa kepada pengukuhan penguasaan dan penglibatan
orang Bugis di Alam Melayu khususnya di tanah Melayu.
2.2 Penglibatan
dan penguasaan orang Bugis di Kedah
Titik
mula penglibatan orang Bugis di Kedah apabila berlaku perang saudara yang
tercetus antara adik-beradik Raja Kedah. Raja Kedah yang tua telah meminta
bantuan Bugis untuk menyerang adindanya Raja Kedah yang muda dengan menghantar
surat jemputan kepada Daeng Perani untuk datang Kedah. Setelah Daeng Perani dan
saudaranya yang lain sampai di Kedah beliau telah melantik Raja Kedah yang tua
untuk menjadi Yang Dipertuan Kedah.[7]
Hal ini telah diketahui oleh Raja Kedah yang muda dan seterusnya menyerang raja
Kedah yang tua. Maka dengan itu berlakulah peperangan diantara kedua adik
beradik ini dimana Raja Kedah yang tua telah mendapat batuan daripada opu-opu
Bugis ini dan telah mengalahkan Raja Kedah muda. Dengan kejayaan dalam
peperangan ini Opu-opu Bugis ini telah diberikan habuan oleh Yang Dipertuan
Kedah berbentuk wang ringgit.[8]
Maka dengan itu orang Bugis telah melakar penglibatan yang amat besar di Kedah
pada ketika itu dan telah menjadi titik tolak mereka dalam campur tangan di
Kedah. Selain itu, Daeng Perani juga dikatakan dinikahkan dengan adik Raja Tua
Kedah pada ketika Daeng Perani datang ke Kedah untuk membantu Raja Tua Kedah.[9].
Selain itu, dalam perang Di Kedah juga Daeng Perani telah terbunuh akibat tipu
helah Raja Kecil yang membantu Raja Muda Kedah pada ketika itu. Daeng Perani
telah terkena peluru meriam Raja Kecil dan menyebabkan Daeng Perani mangkat di
sana. Hal ini menunjukkan kepada kita bahawa penglibatan dan penguasaan orang
Bugis terhadap politik dan sosial Kedah sangat menarik dan memberikan satu
pengukuhan kuasa terhadap penglibatan mereka di Kedah pada ketika itu.
2.3 Penglibatan dan penguasaan Orang Bugis di Linggi
Penguasaan
Orang Bugis di Linggi bermula pada
pertengahan dan akhir abad ke-17 iaitu sekitar 1700 dan telah diusir
menyebabkan mereka berhijrah ke Selangor namun dikatakan mereka telah kembali
ke Linggi pada tahun berikutnya iaitu 1703. Dalam beberapa tahun sehingga tahun
1711, lima bersaudara tersebut telah Berjaya menguatkan kekuasaan mereka ke
atas Orang Bugis yang tinggal di Linggi.[10] Hal ini menunjukkan bahawa Linggi sememangnya
sudah berjaya dikuasai oleh lima bersaudara ini selain itu mereka juga berjaya
mempertahankan Linggi sebagi tempat kediaman mereka untuk mendapatkan pengaruh
yang lebih ke atas politik dan ekonomi tanah melayu. Suasana politik di Linggi
mulai tahun 1715 itu hampir serupa dengan organisasi politik sepertimana yang
diamalkan di barat daya Sulawesi[11]
Hal ini menunjukkan bahawa tahun tersebut merupakan penguasaan orang Bugis
terhadap kota Linggi pada ketika itu. Namun demikian dalam mempertahankan Kota
Linggi lima bersaudara Bugis ini mendapat tentangan yang hebat daripada Johor
yang mendapat bantuan daripada Rembau dan Sungai Ujong yang tidak berpuas hati
dengan petempatan orang Bugis di Linggi. Walaupun beberapa siri peperangan
dilancarkan oleh Johor namun orang Bugis tetap berusaha mempertahankan kota
Linggi pada masa tersebut. Orang Bugis juga berperanan dalam menggerakkan
kepentingan kota Linggi pada masa tersebut seterusnya mengambil manfaat
terhadap serangan Johor untuk menguasai Selat Melaka pada masa tersebut. Selain
itu, Penguasaan terhadap Linggi telah membuatkan mereka mendapat sokongan
daripada Belanda pada ketika itu. Selain itu, orang Bugis juga Berjaya
mempertahankan adat tradisi mereka ke atas orang melayu misalnya dalam
pembahagian harta rampasan perang iaitu dalam sosiobudaya orang Bugis-Mengkassar di
Sulawesi amalan yang hampir serupa dengan sistem tuntutan orang melayu tetapi hanya satu persepuluh daripada semua
hasil, tanaman, barangan atau harta rampasan perang. Hal ini menunjukkan bahawa
peranan mereka dalam membawa kebudayaan Bugis dalam politik juga membawa
beberapa perubahan kepada pentadbiran melayu.
2.4 Penglibatan
dan penguasaan orang Bugis di Selangor
Lewat
kurun ke-17 dan ke-18 orang-orang Bugis telah datang ke Selangor dan bertapak
disana tanpa restu Johor.[12]
Namun pertolongan yang diberikan oleh orang-orang Bugis telah membolehkan
mereka terus bertapak di Selangor. Sebelum Bugis ke Johor, mereka terlebih
dahulu menetap di Selangor. Kedatangan Lima Bugis Bersaudara yang telah
menyatupadukan orang-orang Bugis melalui jawatan Yang Dipertuan Muda sehingga
mampu menjadi saingan kepada kuasa luar seperti Belanda.[13]
Apabila jawatan ini diberikan kepada wakil Lima Bugis Bersaudara, orang-orang
Bugis di Selangor berpindah ke Johor namun segelintir masih tetap di Selangor
dan memberikan sokongan kepada Bugis di Johor. Selain itu, mereka yang tinggal
di Selangor juga ingin mengukuhkan petempatan mereka. Oleh itu, mereka juga
banyak terlibat dalam aktiviti peperangan dan mencari jalan untuk memantapkan
penguasaan mereka sekaligus melepaskan diri daripada jajahan Johor-Riau.
Penglibatan Bugis di Selangor bermula apabila
mereka membantu putera raja Kedah untuk
menaiki takhta sebagai Sultan Kedah hanya dengan dua buah kapal dan 3 atau 4
ratus orang Bugis [14]
dan kemenangan berpihak kepada mereka. Kemahiran mereka dalam mengatur stategi
dan teknik peperangan menjadi faktor kejayaan mereka. Lewat daripada kemenangan
mereka itu berlaku satu lagi kejadian yang lantas menaikkan pengaruh mereka di
Selangor iaitu mereka mencorak kembali struktur pemerintahan di Selangor
apabila perjanjian antara mereka dengan Sultan Kedah dimungkiri dan perbezaan
adat yang dimiliki oleh kedua-dua pihak. Mengikut adat melayu separuh daripada hasil rampasan perang yang
diperoleh oleh orang Bugis seharusnya diserahkan kepada Yang Dipertuan mereka
iaitu Johor [15]
namun berlaku pertikaian antara orang Bugis dan Johor kerana menurut adat orang
Bugis, hasil harta rampasan perang mereka
hanya akan diberikan sebanyak satu persepuluh sahaja.[16]
Implikasinya, berlaku peperangan antara raja Johor dan orang Bugis selama dua
tahun. Namun,setiap serangan raja Johor dapat dipatahkan dan akhirnya Raja
Johor mengakui bahawa Selangor telah lepas daripada kekuasaannya.
Disini,kekuatan orang-orang Bugis
jelas terbukti apabila mereka berjaya mengalahkan angkatan perang Johor yang
jauh lebih ramai dan besar daripada meraka. Oleh itu, pengaruh Bugis di
Selangor bertambah mantap kesan daripada kemenangan mereka melawan Johor.
Pertapakan mereka dikukuhkan lagi apabila pada tahun 1766 Raja Lumu ditabalkan
menjadi Sultan Selangor oleh Sultan Perak iaitu Sultan Mahmud[17] .
Oleh hal ini demikian kerana Sultan Perak merupakan waris sah bagi Kesultanan
Melayu Melaka pada ketika itu dan bukannya daripada golongan bendahara seperti
Sultan Johor. Hasilnya Selangor lepas
daripada pemerintahan Johor-Riau.
Kemahiran Bugis dalam pelayaran dan
aktiviti perdagangan menjadi faktor kejayaan mereka di Selangor. Menurut
Francis Light pada tahun 1794,
orang-orang Bugis ialah saudagar-saudagar
yang terbaik di Kepulauan Timur dan nilai-nilai kargo mereka yang begitu tinggi
menyebabkan kedatangan mereka begitu dinanti-nantikan oleh semua peniaga.[18]
Ini kerana, orang-orang Bugis sentiasa memperdagangkan barangan yang mempunyai
kualiti yang baik. Secara tidak langsung pelabuhan Selangor menjadi tumpuan
utama pedagang dan pembeli seterusnya menjadi pelabuhan yang maju.
Bugis juga meningkatkan perdagangan
bijih timah di Selangor dan ini terbukti apabila pada tahun 1724, Selangor
merupakan negeri utama dalam pengeluaran dan penghasilan bijih timah
sebagaimana di Kuala Lumpur, Ulu Kelang, Lukut dan Kuala Kubu.[19]
Oleh itu,orang-orang Bugis yang berada di Selangor menjadi kaya akibat daripada
perniagaan bijih timah yang pada masa itu mempunyai fungsi seperti menjadi ubat bedil. Selain itu,
mereka juga menjalankan aktiviti perikanan dan ini terbukti apabila terdapat
penyataan yang menyokong keadaan ekonomi ini iaitu Ikan di laut mana-mana rezekiku masuklah ia dan mana-mana tidak
terlepaslah.[20]
2.5 Penglibatan
dan penguasaan Bugis di Perak
Penglibatan
dan penguasaan orang Bugis di Kedah bermula apabila pembesar-pembesar Perak pada
abad yang ke-18 meminta bantuan daripada Daeng Merewah. Pada tahun 1728 Daeng
Merewah Yamtuan Muda Johor bersama-sama orang Bugis pada ketika itu telah ke
Selangor telah membantu Sultan Perak
untuk memerangi abangnya Sultan Alauddin Mughayat Syah. Namun dalam peperangan
di Perak telah menyebabkan Daeng Merewah terbunuh dan jawatan Yamtuan Muda
diserahkan kepada Daeng Chelak pada ketika itu. Oleh hal yang demikian,
orang-orang Bugs ini juga telah melibatkan diri mereka dalam politik di negeri
Perak malahan dalam pentadbiran dan sosial juga , orang Bugis telah membawa
satu kebudayaan terhadap pentadbiran Perak iaitu gelaran Orang Kaya Temenggung
Paduka Raja iaitu merupakan salah seorang daripada Orang Besar Empat Negeri
Perak . Selain itu, pada tahun 1743 pembesar-pembesar Perak yang tidak berpuas
hati itu membuat perikatan dengan Bugis di Selangor bagi menjatuhkan Sultan
Muzaffar Syah (mangkat 1752).[21]
Hal ini demikian menyebabkan Perak terbahagi kepada dua pusat pemerintah iaitu
di sebelah hilir dan hulu Sungai Perak, akibat daripada bantuan orang Bugis
Sultan Muzaffar tidak dapat menewaskan Raja Iskandar pada ketika itu.
Selain itu, pengiktirafan Sultan
Perak iaitu Sutan Mahmud pada tahun 1766[22]
mengukuhkan lagi penguasaan Bugis di tanah Melayu khususnya di Negeri Selangor
. Sultan Perak telah memberikan alat kebesar Diraja bagi menabalkan anak kepada
Daeng Chelak iaitu Raja Lumu bagi menaiki taktha Sultan Selangor yang pertama
dengan gelaran Sultan Salehuddin Shah. Oleh hal yang demikian, penglibatan dan
penguasaan Orang Bugis dalam negeri Perak membuktikan kepada kita bahawa orang
Bugis dan Sultan Perak amat memerlukan antara satu dengan yang lain.
3.0
Faktor kejayaan Orang Bugis pada
abad ke-17 dan 18.
Terdapat
beberapa faktor kejayaan orang Bugis ke atas pengaruh mereka dalam politik
nusantara. Salah satunya adalah melalui sikap suku bangsa Bugis itu sendiri
yang mempunyai cita-cita tinggi dan memiliki perjuangan yang gigih misalnya
dalam kehidupan mereka mengamalkan satu adat iaitu
siri’ iaitu harga diri
ataupun martabat seseorang individu.
Malahan siri’ juga amat penting dalam
berpasompe misalnya untuk mencapai
matlamat dalam pasompe mereka menjalankan pendekatan tiga hujung iaitu pertama
orang Bugis harus bergantung kepada hujung lidah.[23].Dalam
hal ini untuk mencapai matlamat siri’
mereka orang bugis perlu melalui perbincangan dan permuafakatan. Kebiasaannya ,
melalui kaedah pertama ini orang Bugis akan membuat perjanjian dan sumpah yang
melibatkan dua pihak . Kaedah kedua yang dikenali hujung keris[24]
pula akan wujud sekiranya berlaku penipuan dan perlanggaran janji antara kedua
pihak yang membawa kepada peperangan, kalah atau menang bergantung kepada
kekuatan penyokong, strategi dan kemahiran pihak yang terlibat dan kaedah yang
terakhir dikenali sebagai hujung kemaluan[25]
iaitu melalui perkahwinan. Kaedah-kaedah ini amat penting dalam berpasompe keranan ia akan membuatkan
matlamat siri meningkatka siri’
mereka akan tercapai.
Kelebihan orang bugis dalam
peperangan juga merupakan faktor kejayaan mereka di nusantara iaitu pakaian
baju berantai[26].
Pakaian ini berfungsi untuk melindungi mereka dketika berada dalam medan
peperangan. “ Jikalau aku lawan bertikam , tiada aku tahan , kerana ia besar
panjang , dengan baju berantai . Baik aku bedil dengan lela”[27],
Hal ini menyatakan ketika Raja Kecil
hendak melawan Daeng Perani dia terpaksa melakukan helah ketika peperangan di
Kedah disebabkan pakaian berantai yang digunakan oleh Daeng Perani pada ketika
itu. Hal ini demikian, baju besi berantai juga amat penting dalam masyarkat
Bugis khususnya dalam peperangan di
nusantara.
Sifat lahiriah orang Bugis itu sendiri
mendorong kepada kejayaan mereka pada abad tersebut,misalnya orang Bugis
menjadi aktiviti merantau ataupun pasompe
sebagai salah satu tradisi yang diamalkan sejak turun temurun bagi menegakkan
martabat dan harga diri mereka dalam kehidupan seharian malahan dalam karya
sastra Bugis iaitu La Galigo
menyatakan bahawa seorang tokoh Bugis iaitu Sawerigading telah melakukan
penjelajahan ke seluruh nusantara menggunakan kapal beliau iaitu wakka tana walinonoe [28]
. Oleh hal yang demikian melalui kepercayaan ini mereka telah menjadikan
sompe atau merantau itu menjadi satu amalan tradisi bagi meneruskan martabat
dan harga diri orang Bugis itu.
4.0 Penglibatan orang Bugis dalam Ekonomi
Nusantara pada abad ke-18
Penglibatan
orang Bugis dalam ekonomi khusunya dalam perdagangan memang tidak dapt
dinafikan sama sekali. Hal ini demikian kerana, kemahiran mereka dalam ilmu
pelayaran dan ilmu-ilmu laut membuatkan mereka mengatasi Orang Laut yang pada
suatu ketika dahulu menguasai perairan Selat Melaka. Pada tahun 1718, , tidak
ada kerajaan melayu yang muncul untuk mengisi kekosongan peranan sebagai
pengawal lalulintas dagang di selat melaka[29].
Hal ini membuatkan orang Bugis mengambil peranan orang laut untuk mengawal
perairan Melaka pada ketika itu . Misalnya Francis Light pernah menyatakan
bahawa “mereka adalah saudagar yang terbaik di kepulauan Timur…Nilai kargo
mereka yang tinggi …menyebabkan tibaan mereka sentiasa ditunggu oleh semua kaum
peniaga “[30]
Hal ini demikian kerana pelangganan orang-orang Bugis di sesebuah pelabuhan
akan menjadi anak kunci kepada pelabuhan tersebut. Selain itu, ini menunjukkan
bahawa peranan orang Bugis dalam perdagangan pada ketika itu amat penting
kerana meraka akan membawa hasil dagangan rempah dari tanah Sulawesi sebagai
bahan dagangan. Selain itu, mereka juga menguasai perdagangan biji timah di
Selangor memandangkan Selangor pada masa itu merupakan salah satu pengeluar
yang terbesar. Tentera upahan juga merupakan salah satu sumber ekonomi bagi
orang Bugis pada abad ke-17 dan 18 . Misalnya, Daeng Merewah telah membantu
Sultan Kedah bagi mendapatkan taktha baginda daripada adiknya dan Daeng Merewah
bersama orang Bugis telah diberikan ganjaran dua belas pucuk meriam oleh Sultan Kedah[31]
malahan ada juga orang Bugis yang lain membantu pembesar-pembesar melayu dan
diberikan ganjaran. Oleh hal yang demikian, tentera upahan juga memberikan
sumber ekonomi kepada orang Bugis pada abad tersebut di samping mengukuhkan
lagi penguasaan mereka terhadap Alam Melayu.
5.0 Penutup
Secara
keseluruhannya, kurun-17 merupakan kedatangan awal Bugis- Mengkassar ke Alam Melayu
ataupun tanah melayu manakala kurun ke-18 merupakan penguasaan mereka terhadap
politik , ekonomi dan sosial tanah melayu. Oleh hal yang demikian, Lima Daeng
bersaudara iaitu Daeng Perani, Daeng Kemasi, Daeng merewah , Daeng Menambun dan
Daeng Chelak memainkan peranan penting dalam meluaskan pengaruh mereka terhadap
pentadbiran disebabkan berlakunya konflik perebutan kuasa dalam kalangan
pembesar melayu. Oleh itu, orang Bugis tidak seharusnya dipersepsikan sebagai
lanun ataupun pelarian pada abad tersebut kerana orang Bugis telah membantu dalam mencorakkan pemerintahan
orang melayu pada masa itu malahan menurut hikayat Goa terdapat juga
perhubungan yang erat antara orang johor dan orang Bugis-Mengkassar pada abad
yang ke 16 dan petempatan orang johor di
mengkassar pada ketika itu.
Bibliografi
Andaya, Barbara
Watson dan Andaya, Leonard Y. (1983).
Sejarah Malaysia. Petaling Jaya: Macmillan Publisher (M) Sdn. .Bhd
Buyung Adil (1971). Sejarah
Selangor,Kuala Lumpur:Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Gullick, J M
(2004). A History of Selangor(1766-1939).Kuala
Lumpur: The Malaysia Branch of the Royal Asiatic Society
Hooker,
Virginia Matheson (1991), Tuhfat
Al-Nafis sejarah Melayu Islam terjemahan
Ahmad Fauzi Basri Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Khazin
Mohd. Tamrin . Selat Melaka dan
penjelajahan orang Bugis. Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Norhalim
Hj. Ibrahim (1998). Sejarah Linggi :
Pintu Gerbang Sejarah Pembangunan Negeri
Sembilan. Shah Alam : Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd
Dirawikan
oleh Tengku Said diselenggarakan oleh Muhammad Yusoff Hashim (1992). Hikayat siak. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka Kementerian Pelajaran Malaysia
Rafiuddin
Afkari Hj.Abdul Fattah, Mikdar Rusdi
dan Md.Akbal Abdullah (2011).
Penghijrahan masyarakat Bugis ke Alam Melayu: Kajian kes Bugis di Indragiri
Hilir Riau. Universiti Kebangsaan Malaysia.
Shaharom
Husain (1995). Sejarah johor: kaitannya
dengan negeri melayu. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd
Shamsuddin
Jaafar, Kerajaan Johor 1641-1728
pembangunan ekonomi dan politik Leonard Andaya, Malaysia: Kuala Lumpur,
Dewan Bahasa dan Pustaka Kementerian Pendidikan Malaysia
[1]
Norhalim Hj. Ibrahim (1998). Sejarah
Linggi : Pintu Gerbang Sejarah Pembangunan
Negeri Sembilan. Shah Alam : Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Hlm.28-30
[2]
Shaharom Husain (1995). Sejarah johor:
kaitannya dengan negeri melayu. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn.
Bhd. Hlm. 29
[3]Shaharon
Husain (1995), Sejarah Johor kaitannya dengan
Negeri Melayu, Malaysia: Kuala Lumpur, Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., Hlm
34.
[4]
Shamsuddin Jaafar, Kerajaan Johor
1641-1728 pembangunan ekonomi dan politik Leonard Andaya, Malaysia: Kuala
Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka Kementerian Pendidikan Malaysia, Hlm 21-22.
[5] Virginia
Matheson Hooker (1991). Tuhfat Al-Nafis
sejarah Melayu Islam terjemahan Ahmad
Fauzi Basri. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka. Hlm. 154.
[6] Ibid, Virginia Matheson Hooker (1991), Tuhfat Al-Nafis sejarah Melayu Islam. Terjemahan
Ahmad Fauzi Basri Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.Hlm 157.
[7]Ibid.
Hlm 219.
[8]Ibid. Hlm 220.
[9] Dirawikan oleh Tengku Said diselenggarakan oleh
Muhammad Yusoff Hashim (1992). Hikayat
siak. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka Kementerian Pelajaran Malaysia.Hlm.136.
[10]Norhalim
Hj. Ibrahim (1998). Sejarah Linggi :
Pintu Gerbang Sejarah Pembangunan Negeri
Sembilan. Shah Alam : Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd. , hlm. 36.
[11]
Ibid. hlm. 40.
[13]
Kedatangan Bugis menyebabkan ekonomi di Selangor berkembang dan ini mengancam
pelabuhan Belanda di Melaka.
[15] Ibid,hlm. 93.
[16] Norhalim
Hj. Ibrahim (1998). Sejarah Linggi :
Pintu Gerbang Sejarah Pembangunan Negeri
Sembilan. Shah Alam : Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd. hlm. 43.
[17]
J M
Gullick (2004). A History of
Selangor(1766-1939).Kuala Lumpur: The Malaysia Branch of the Royal Asiatic
Society. Hlm. 1.
[18]Barbara
Watson Andaya dan Leonard Y.
Andaya(1983). Sejarah Malaysia. Petaling Jaya: Macmillan Publisher (M) Sdn. Bhd. Hlm
9
[19]
Buyung Adil (1971). Sejarah Selangor, Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan
Pustaka. hlm. 142.
[20]Barbara
Watson Andaya dan Leonard Y. Andaya(1983).
Sejarah Malaysia. Petaling Jaya: Macmillan Publisher (M) Sdn. Bhd. ,
hlm.114.
[21]
Ibid. hlm. 100.
[22] J M Gullick (2004). A History of Selangor(1766-1939).Kuala
Lumpur: The Malaysia Branch of the Royal Asiatic Society. Hlm. 1
[23]
Khazin Mohd. Tamrin . Selat Melaka dan
penjelajahan orang Bugis. Universiti Pendidikan Sultan Idris. Hlm. 13
[24]
Ibid. Hlm. 13
[25]
Ibid. hlm.13
[26]
Norhalim Hj. Ibrahim (1998). Sejarah
Linggi : Pintu Gerbang Sejarah Pembangunan
Negeri Sembilan. Shah Alam : Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd. hlm. 47
[27]
Dirawikan oleh Tengku Said diselenggarakan oleh Muhammad Yusoff Hashim (1992). Hikayat siak. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka Kementerian Pelajaran Malaysia. hlm. 138
[28]
Rafiuddin Afkari Hj.Abdul Fattah, Mikdar Rusdi dan Md.Akbal Abdullah (2011). Penghijrahan
masyarakat Bugis ke Alam Melayu: Kajian kes Bugis di Indragiri Hilir Riau.
Universiti Kebangsaan Malaysia. Hlm. 8
[29] Barbara
Watson Andaya dan Leonard Y. Andaya(1983).
Sejarah Malaysia. Petaling
Jaya: Macmillan Publisher (M) Sdn. .Bhd. hlm. 377
[30]Ibid.hlm.
92.
[31]
Norhalim Hj. Ibrahim (1998). Sejarah
Linggi : Pintu Gerbang Sejarah Pembangunan
Negeri Sembilan. Shah Alam : Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd. Hlm.39
terima ksih =)
ReplyDelete